klik sini

Wednesday, 21 September 2011

SUKAN

Fahmi penyelamat

PEMAIN negara, Mahali Jasuli (kiri) bekerja keras untuk menyekat kemaraan pemain Jepun, Kazuya Yamamura pada aksi kelayakan Olimpik 2012 di Fukuoka semalam


SKUAD bola sepak negara berjaya mengelak daripada kekalahan besar apabila hanya tewas 0-2 kepada Jepun pada aksi pembukaan pusingan ketiga Kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Stadium Tosu, Fukuoka, semalam.
Terima kasih kepada penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya sembilan percubaan bahaya pasukan tuan rumah di babak pertama dan empat di babak kedua.
Jika tidak kerana kecemerlangan Fahmi, Malaysia hampir pasti menjadi ‘lauk’ kepada pasukan Samurai Biru yang seperti dijangka menguasai sebahagian besar permainan.
Hanya dua gol gagal dihalang Fahmi iaitu menerusi Keigo Higashi pada minit ke-11 dan Ryohei Yamazaki pada minit ke-77. Itu pun selepas Jepun mengasak bertali arus.
Ternyata skuad negara bukan lawan setanding untuk Jepun yang jelas memiliki kelebihan dalam segala segi baik kawalan bola, kawalan dan gaya permainan, ketenangan, skil, teknik serta taktik.
Seawal minit kedua lagi Fahmi sudah diuji apabila berjaya menghalang bola satu-dua pemain Jepun di depan gawang sebagai tanda amaran betapa deretan percubaan bahaya bakal terus menyusul selepas itu.
Ia ternyata benar apabila satu demi satu penyerang Jepun membolosi kubu negara menerusi gerakan-gerakan kemas dan menarik dari setiap penjuru.
Kegagalan pemain negara mengawal permainan dengan kemas dan memegang bola dengan yakin menjadi faktor kenapa tiada langsung percubaan bahaya berjaya diilhamkan anak-anak buah Ong Kim Swee sepanjang permainan.
Hanya di babak kedua, satu-satunya percubaan yang berjaya dicipta menerusi Thamil Arasu pada minit ke-63 tetapi belum sempat dapat meledakkan sepakan dari dalam kotak penalti, ia mudah dipatahkan pertahanan Jepun.
Dalam pada itu pujian juga perlu diberikan kepada benteng pertahanan skuad negara kerana ampuh bertahan ketika berkampung di kubu sendiri.

Safee serasi bersama Cardiff


SAFEE kini semakin serasi dengan gaya permainan bola sepak England yang terkenal dengan corak serangan pantas.


BIAR pun baharu seminggu bersama Cardiff City, Mohd. Safee Sali kini semakin serasi dengan gaya permainan bola sepak England yang terkenal dengan corak serangan pantas.
Penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya itu telah menjaringkan lebih lima gol sepanjang sesi latihan bersama Cardiff.
Malah, penyerang prolifik negara itu antara penyerang kegemaran bagi pengurus Cardiff, Malky Mackay yang dilihat semakin stabil bersama Bluebirds apabila mempamerkan semangat dan disiplin yang tinggi.
Pengurus peribadi pemain itu, Zakaria Ab. Rahim memberitahu, Safee kini beraksi dengan lebih tenang dan sentiasa memperbaiki mutu permainannya sepanjang sesi latihan bersama kelab dari England itu.
“Gaya permainan yang ada pada Safee antara faktor jelas mengapa pengurus Cardiff selesa menjadikannya pilihan utama sepanjang sesi latihan.
“Dia (Safee) yang kini beraksi dengan lebih tenang dan konsisten, pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk terus mempamerkan aksi cemerlang sepanjang sesi latihan demi memikat pengurus (Mackay).
“Nyata, pihak pengurus Cardiff berpuas hati dengan prestasi Safee bersama pasukan yang dikenali Bluebirds yang dilihat semakin positif,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurutnya, nasib Safee yang hanya mempunyai baki seminggu lagi untuk menjalani latihan di England bergantung kepada pihak pengurusan Cardiff.
“Sama ada keputusan itu akan diumumkan sebelum Safee pulang ke Malaysia pada 28 September ini atau selepas beraksi bersama Pelita Jaya, semuanya bergantung kepada pihak pengurusan Cardiff.
“Sekiranya Cardiff berminat untuk mendapatkan khidmat Safee, mereka akan berunding dengan Pelita Jaya bagi melengkapkan perpindahan sensasi ini,” katanya.
Jelas Zakaria, meskipun Safee gagal di England, ia tidak bermakna perjuangan bekas pemain Selangor itu berakhir malah dengan pengalaman berharga ini, mutu permainan Safee pasti menyumbangkan sesuatu kepada negara kelak.
“Berjaya atau tidak, Safee telah pun mempamerkan aksi cemerlang sepanjang bersama Cardiff. Apa pun, saya berharap semua masyarakat di Malaysia mendoakan kejayaan Safee untuk bergelar pemain pertama negara beraksi di pentas Eropah.


Chong Wei melangkah mudah ke pusingan kedua

JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan awal apabila mudah untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun 2011.
Tampil selaku pemain pilihan pertama kejohanan, Chong Wei tidak berdepan halangan sukar untuk menundukkan pemain perseorangan England, Rajiv Ouseph 21-13, 21-13 pada aksi pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Tokyo semalam.
Kemenangan tersebut dianggap sangat penting buat pemain No. 1 dunia itu dalam usaha memburu kejuaraan keempat pada kejohanan yang telah berusia 30 tahun itu pada edisi kali ini.
Ia juga sebagai langkah permulaan serta suntikan semangat buat Chong Wei yang dijangka berdepan musuh tradisinya, Lin Dan dari China andai berjaya melayakkan diri sehingga ke pentas final.
Pada aksi pusingan kedua hari ini, Chong Wei, 29, bakal berdepan perseorangan China, Wang Zhengming yang layak selepas mengenepikan cabaran Wong Wing Ki dari Hong Kong 23-21, 21-13 dalam satu lagi aksi pusingan pertama semalam.
Sementara itu, beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut mengikut jejak langkah Chong Wei mara ke pusingan kedua selepas mengenepikan cabaran Saeki Hiroyuki-Taohata Ryota dari Jepun 21-10, 21-8.
Terbuka Jepun kali ini sangat penting buat Kien Keat-Boon Heong dalam usaha memulihkan semula reputasi mereka selepas kecundang di tangan pasangan Korea Selatan, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae pada aksi suku akhir China Master minggu lalu.
Menanti beregu No. 4 dunia itu pada pusingan kedua hari ini ialah pasangan Yoshiteru Hirobe-Kenta Kazuno dari Jepun yang menewaskan pasangan Belanda, Ruud Bosch-Koen Ridder 21-19, 21-8.
Turut beraksi cemerlang pada aksi pusingan pertama semalam ialah beregu kedua negara, Goh Wei Shem-Lim Khim Wah yang mara selepas membenam cabaran Kim Ki Jung-Shin Baek Choel dari Korea selatan 22-20, 21-19.
Wei Shem-Khim Wah bakal berdepan tugas getir pada aksi pusingan kedua apabila dijadual menentang beregu China, Chai Biao-Guo Zhendong.

No comments:

Post a Comment