klik sini

Wednesday, 31 August 2011

HARIMAU MALAYA 2011

FAM Terima Undangan Australia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima undangan Australia untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di ibu negara Socceroos tersebut. FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan perkara tersebut apabila ditemuramah pemberita semalam.
“Kami menerima undangan dua hari lalu, kami sudah mengadakan perbincangan bersama jurulatih Datuk K Rajagobal dan pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal semalam (kelmarin). Keputusan ini juga dibuat selepas mendapat perkenan Tuanku Presiden. Kami sudah memberi jawapan kepada Australia akan menerima undangan bagi mengadakan perlawanan pada 7 Oktober di Sydney,” katanya.
Perlawanan di antara Australia menantang Malaysia akan diadakan pada 7 Oktober 2011 di Sydney, Australia.

Safee Sali Bakal Diuji QPR

Pemilik baru Quees’s Park Rangers, Tan Sri Tony Fernandes membantu memberi peluang kepada 2 pemain Malaysia untuk menjalani ujian pemilihan di QPR dan Safee Sali yang kini beraksi bersama Pelita Jaya adalah salah seorang dari pemain tersebut.
Tony memberitahu pengurus QPR Neil Warnock tertarik dengan aksi yang ditunjukkan Safee Sali setelah diberikan video tape rakaman aksi pemain tersebut.
“Neil Warnock menonton video aksi Safee Sali dan dia sangat berpuas hati. Kami berharap dapat membawanya ke sini bersama-sama seorang lagi pemain Malaysia untuk menjalani ujian selepas pintu pemindahan pemain ditutup. Potensi untuk pemain Malaysia mendapat perhatian kini semakin tinggi sekarang apabila kami berada di sini (England)” – Tony Fernandes
Apabila ditanya mengenai permit kerja untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris yang agak sukar untuk diperolehi rakyat Malaysia, Tan Sri hanya menjawab ringkas:
“Kita mempunyai sedikit masalah dengan kedudukan ranking Skuad Kebangsaan. Kami akan berbicara mengenainya apabila masanya tiba” – Tony Fernandes

Safiq Sedia Diuji Cardiff City

 
 
Pemain tengah Malaysia dan juga Selangor, Safiq Rahim menerima panggilan untuk menjalani sesi ujian dan juga pemilihan dari kelab Liga Kejuaraan England, Cardiff City. Peluang keemasan itu hadir setelah pengerusi Cardiff City yang juga merupakan ahli perniagaan Malaysia,  Datuk Chan Tien Ghee mengadakan perbincangan dengan pemain tersebut semalam.
“Memang betul saya ditawarkan tempat untuk menjalani ujian pemilihan bersama Cardiff City. Saya sudah menyerahkan semua dokumen peribadi untuk urusan itu dan perbincangan lanjut akan diadakan selepas hari raya, minggu depan. Saya gembira dengan tawaran yang diberikan ini walaupun ia hanya ujian pemilihan.” – Safiq Rahim
 Jika sesi pemilihan berjalan lancar, Safiq Rahim dijangka tidak mengalami sebarang masalah untuk mendapatkan permit kerja di sana memandangkan peraturan pemilihan pemain di Liga Kejuaraan tidak seketat Liga Perdana England.
“Berdasarkan penerangan yang diberikan kepada saya, tiada masalah untuk saya beraksi dalam divisyen satu (Liga Kejuaraan) berbanding Liga Perdana Inggeris yang mengenakan syarat hanya pemain dari negara ranking dunia 70 ke bawah dan memiliki sekurang-kurangnya 75 cap bersama skuad senior kebangsaan. Saya akan menjalani ujian pemilihan selama tiga minggu dan jika mereka berpuas hati dengan prestasi saya, mereka akan menawarkan kontrak ketika musim perpindahan pemain Januari tahun depan.” Safiq Rahim.
Dalam pada itu Safiq juga menyatakan kemungkinan seorang lagi pemain Malaysia akan menyertainya menjalani sesi pemilihan dan pemain yang dimaksudkan adalah Safee Sali yang kini beraksi bersama kelab Pelita Jaya di Indonesia.
“Buat masa ini memang saya seorang saja yang diberi tawaran ini tetapi mungkin selepas ini mereka akan tawarkan juga kepada Safee Sali.” – Safiq Rahim.


3 Pemain Olimpik Terpilih ke FC Vion

 
3 pemain dari skuad olimpik negara terpilih untuk menandatangani kontrak pinjaman bersama kelab dari liga utama Slovakia, FC ViOn Zlaté Moravce. Pemain tersebut ialah Wan Zack Haikal (penyerang), Irfan Fazail (tengah), & Fadhli Shas (pertahanan).
Aksi menarik yang ditonjolkan ketiga-tiga pemain tersebut sepanjang mereka beraksi di Slovakia berjaya menarik perhatian kejurulatihan kelab terbabit sekaligus menawarkan kontrak untuk bersama mereka. Untuk permulaan ketiga-tiga pemain tersebut diberikan kontrak atas nama pinjaman selama 3 bulan sehingga November depan.
Jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee berkata, urusan pinjaman ketiga-tiga pemain Harimau Muda A itu kini sedang diselesaikan dan andai sudah dimuktamadkan, Wan Zack, Irfan dan Fadhli tidak akan dapat pulang berhari raya.
“Saya harap ketiga-tiga pemain ini akan membuka lembaran baru agar lebih ramai lagi pemain kita dapat beraksi di liga sekitar Eropah. Walaupun liga utama Slovakia ini kurang prestij jika dibandingkan dengan Liga Perdana England, ia tetap mempunyai kualiti yang baik. Biarlah pemain kita bermula di Slovakia dan kita berharap mereka ini membuktikan dahulu kemampuan di sini sebelum berfikir jauh untuk beraksi di liga lebih ternama,” kata Kim Swee via Kosmo! di Slovakia.


Safee Sali Dirisik Kelab Jerman

Khabar gembira buat peminat bola sepak Malaysia apabila penyerang sensasi negara, Mohd Safee Mohd Sali diburu kelab dari Jerman. Berita gembira ini disahkan sendiri oleh Safee Sali apabila ditemuramah wartawan semalam.
Pemain berbadan tegap tersebut sebelum ini telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Malaysia pertama yang bermain di Liga Super Indonesia kini dirisik pula kelab dari Bundesliga Jerman setelah menyaksikan prestasi cemerlangnya sejak kebelakangan ini terutamanya ketika membantu skuad negara menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 Disember tahun lalu dan perlawanan kelayakan Piala Dunia.
Walaubagaimanapun Safee tidak menyatakan kelab manakah yang merisik beliau kerana menyatakan ianya masih diperingkat awal.
“Tawaran ini datang tepat pada masanya. Mungkin ini adalah betul-betul tawaran yang mahukan khidmat saya. Tawaran ini mungkin datang selepas saya menyertai skuad Malaysia menentang Singapura. Saya terkejut dengan panggilan ini, walaupun belum mendapat tawaran rasmi,” jelas Safee Sali.
Safee juga tidak mahu memberikan komen lanjut mengenai tawaran tersebut kerana ia masih diperingkat awal perbincangan.
“Saya hanya mendapat khabar dari sana tetapi saya belum mendapat pengesahan jelas. Jadi saya tidak boleh komen terlalu banyak,” katanya.



No comments:

Post a Comment